Pages

Masjid Papan - Tertua di Perak




MASJID PAPAN yang dibina pada tahun 1888 oleh penghulu Papan, Raja Bilah (1834-1911) adalah masjid tertua dalam bentuk asalnya di negeri Perak. Malah Masjid Papan adalah masjid Mandailing yang tertua di negeri itu, dan barangkali di Malaysia.


Masjid Papan yang juga dikenali sebagai Masjid Raja Bilah sempena nama pengasasnya mencerminkan seni bina Mandailing. Seperti masjid-masjid tempatan yang ditegakkan pada awal kurun ke-19, Masjid Papan tidak mempunyai menara dan kubuh bawang seperti masjid-masjid yang dipengaruhi oleh seni bina Turki dan India Moghul. Bentuk dan seni bina Masjid Papan serupa dengan masjid-masjid kayu yang masih boleh ditemui di Tapanuli Selatan, dan kerana itu, besar kemungkinan Masjid Papan dibina oleh tukang-tukang Mandailing.

Sepanjang Masjid Papan digunakan sebagai sebuah masjid, ianya diimarahkan oleh jamaah Islam Mandailing, Talu, Rawa, Jawa, Melayu dan ìBenggali Islamî sehingga Perang Dunia Kedua.

Kemudian masjid itu digunakan sebagai sebuah surau oleh kaum keluarga Raja Bilah, dan pelawat-pelawat beragama Islam yang mengunjungi pekan Papan yang bersejarah itu.

Masjid Papan (atas) dan sebuah masjid Mandailing di Tapanuli Selatan (bawah). Kedua-dua masjid itu diperbuat dari kayu. Bentuk anjung mihrab, bumbung dua lapis dan tunjuk langitnya serupa sahaja.

Anak lelaki tertua Raja Bilah, Raja Yacob telah mendapatkan Jabatan Ukur Negeri-Negeri Melayu Bersekutu menyukat tapak tanah masjid itu dan mewartakan kawasan masjid.

Tapak masjid itu seluas 0.087 ekar diisytiharkan sebagai "Mosque Reserve" pada 6 April 

1923, sementara kawasan masjid itu diwartakan sebagai "tanah larangan tapak masjid tempat sembahyang bagi orang2 Islam dijagai oleh Penghulu mukim Papan dan Imam Masjid Papan" pada 3 November 1923.

Makanya masjid itu telah diwakafkan dengan rasminya sebagai wakaf umum dengan kehendak agama Islam. Maka masjid itu menjadi milik Allah, dan kerana itu adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menjaga maruah masjid itu.

Keadaan terancam masjid itu telah sampai kepada pengetahuan umum sejak 1992, apabila sebahagian bumbung zink masjid itu diterbangkan angin kencang dan mendedahkan lantas masjid itu kepada hujan. Lantainya sudahpun reput dibaham hujan dan dimakan anai-anai. Sehingga kini, tida ada tindakan amaliah diambil oleh orang Islam atau pihak berkuasa untuk menyelamatkan masjid itu.

SUMBER : http://www.mandailing.org/ind/rencana5.html

No comments: