Pages

Nobat Kedah


 

Ketika upacara Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah awal tahun ini, rakyat Malaysia berpeluang melihat persembahan Nobat dari negeri Kedah. Walaupun negeri-negeri lain seperti Terengganu, Perak dan Selangor juga memiliki muzik diraja itu, Nobat Kedah adalah yang tertua.

Dipercayai Nobat bermula apabila Sultan Kedah, Sultan Mohammad Jiwa melawat  India. Baginda telah mendengar Nobat dimainkan dalam salah sebuah istana. Baginda serta-merta jatuh cinta dengan bunyi muzik itu. Sekembali ke Kedah, baginda memerintahkan Nobat dipersembahkan. Bagaimanapun, baginda tidak mengekalkan tiga daripada alat muzik Nobat asal iaitu Serunai panjang dan dua Gong Hindu.
Oleh kerana itu, pada hari ni Nobat yang dimainkan hanya menggunakan enam alat muzik.
Pemuziknya dinamakan Orang Nobat. Notasi lagu-lagunya iaitu Lagu Perang, Raja Burung, Belayar, Perang, Mambang Berkayuh, Seratan dan Dewa Raja dicatatkan dalam tulisan  Jawi. Setiap nota dinamakan ‘dai’.

Bahan yang diguna untuk membuat alat-alat muzik ini terdiri daripada akar rotan, kulit rusa, kulit harimau hingga ke bahan perak. Nobat Kedah ditempatkan dalam bangunan indah di tengah bandar Alor Star dinamakan Balai Nobat. Terdapat beberapa syarat yang mesti dipatuhi ketika mengendalikan alat-alat muzik ini. Misalnya, pemuzik yang membuat persembahan di istana mesti keluar daripada Balai Nobat mengikut cara yang telah ditetapkan. Mahaguru yang menjadi ketua adalah yang pertama keluar dan tiada seorang pun dibenarkan melintas di hadapannya pada bila-bila masa pun. Berpakaian rasmi serba hitam dengan kain samping songket dan tengkolok, Orang Nobat kelihatan begitu segak, melambangkan warisan dan budaya.

Alat muzik Nobat:

Tongkat Cokmar Diraja - diperbuat daripada rotan semambu berukuran 1.8m. Nobat hanya boleh dimainkan apabila Mahaguru memegang alat ini yang dibalut dengan baldu kuning diraja. Apabila pembalut baldu ini lusuh, ia tidak digantikan. Sebaliknya, baldu baru dijahitkan di atasnya.
Nahara - gendang kecil yang diperbuat daripada kayu terpilih dan kulit rusa.
Gendang Ibu dan Gendang Anak - gendang bersaiz sederhana yang diperbuat daripada kulit harimau atau kulit kambing. Kayu pemukulnya diperbuat daripada kayu  Kemuning.
Nafiri - trompet diperbuat daripada perak tulen dan panjangnya kurang daripada 1 meter.
Serunai -  mempunyai tujuh lubang pada permukaan dan satu lubang di bahagian bawah.
Gong - diperbuat daripada gangsa.

Pada hari-hari biasa, Nobat dimainkan pada masuk waktu solat. Dalam upacara khas,  Nobat hanya boleh dimainkan dengan izin Sultan Kedah, seperti:
Ketika upacara pertabalan Sultan baru.
Hari keputeraan Sultan.
Perkahwinan diraja
Kemangkatan Sultan atau Sultanah, Raja Muda, putera, puteri dan anggota keluarga diraja yang lain.
Ketibaan tetamu kehormat negeri Kedah
Mengumumkan Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji dan hari kebesaran Islam yang lain.


Komen Zul Amin

Keterangan dari sdr sungguh mendidik. Instruments ini digunakan sebagai lambang dan cara keakraban Raja dan Rakyat. Daulat Tuanku.

No comments: